Sudah lama kita tidak mendengar perkhabaran mengenai pelakon drama bersiri ‘Anak Pontianak’, Zarina Anjoulie. Jika dahulu dia pernah mencetuskan beberapa siri kontroversi, nama Zarina seakan senyap dari radar dunia seni. Selepas sekian lama tidak muncul dengan produk baru, filem lakonan Zarina, ‘Amir & Loqman Pergi Ke Laut’ (ALPKL) bakal menjengah pawagam pada 25 September ini.

0911_zarina_anjouli

Zarina memegang peranan sebagai Balqis, teman wanita kepada ketua samseng lakonan Sofi Jikan. Menerusi filem tersebut, karakter yang dibawa oleh Zarina digambarkan sebagai seorang yang seksi dan Zarina juga harus melakukan babak-babak intim dalam filem ALPKL. Adakah Zarina tidak risau dirinya dieksploitasikan dalam filem ini?

“Semasa dapat watak ini, saya sudah fikirkan, mesti akan ada orang berkata mengenai watak saya yang seksi dan sebagainya. Pasti orang akan bercakap, sudahlah berpenampilan seksi, terima pula watak yang ‘daring’. Tetapi saya percaya kepada pengarah iaitu Mamat Khalid. Sebagai pengarah, pastinya dia tahu apa yang terbaik dan pastinya dia memilih saya untuk menggalas karakter itu setelah melihat kebolehan yang ada pada diri saya.

“Saya tak kisah jika ada orang katakan saya dieksploitasi. Apa bezanya pun dengan sebelum keluarnya filem ini? Orang tetap akan bercakap mengenai saya. Jadi ada baiknya jika saya menerima watak tersebut dan menggunakan bakat yang saya ada untuk merealisasikan watak Balqis. Sebagai pelakon, saya mahu pelbagaikan watak yang pernah saya galas. Watak ini berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawa. Apa yang penting, saya sudah jayakan tanggungjawab yang diberikan sehabis baik,” ujar Zarina ketika ditemui usai tayangan ALPKL di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah Zarina kini sudah mahu memperlahankan karier lakonannya dan berhenti berlakon kerana kurang muncul dengan produk baru, pelakon kacukan Melayu, Iran dan Scotland ini menafikan perkara tersebut.

“Saya tak berhenti berlakon, saya masih ada. Cuma saya sibuk dengan pelajaran dan perniagaan. Jika ada tawaran yang menarik dan berbaloi untuk profil saya sebagai pelakon, pastinya saya ambil. Saya bukan memilih untuk berlakon filem sahaja, tetapi jika saya terlibat dengan penggambaran drama bersiri, durasi penggambaran pastinya lama dan saya takut itu akan mengganggu pelajaran saya dan saya sendiri tak dapat fokus melakukan banyak kerja dalam satu masa,” katanya mengakhiri perbualan.

*Artikel dari GUA