Zara Zya Teruja Berlakon Bersama Aaron Aziz

Aktres berbakat, Zara Zya mengakui teruja apabila dapat bergandingan dengan pelakon popular, Aaron Aziz dalam drama siri original terbaru Tonton, ‘Dan Calonnya Adalah 2’. Menurut Zara, sudah lama dia mengimpikan untuk berlakon bersama aktor itu kerana sangat meminati bakat lakonannya.
“Siapa yang tak nak berlakon dengan Aaron Aziz? Bila dapat peluang bergandingan dengan dia dalam drama ini, sudah pasti saya berasa sangat teruja. Seronok dapat berlakon dengannya lebih-lebih lagi dia tidak lokek ilmu. Walaupun pertama kali digandingkan, kami tidak ada masalah dan senang untuk bekerjasama,” tutur Zara ketika ditemui sewaktu penggambaran drama ‘Dan Calonnya Adalah 2’ baru-baru ini.

10982145_10153139573081474_8238840685177879421_n
Dalam drama komedi romantik 20 episod ini, Zara memegang watak sebagai Fatin, anak seorang pemandu yang bekerja dengan keluarga Aris, lakonan Aaron Aziz. Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya, dia memberitahu karektornya tidak klise kerana Fatin merupakan seorang tomboy namun berkeinginan untuk mempunyai teman lelaki.
“Watak Fatin agak kasar dan loud. Dia seorang tomboy namun teringin untuk mempunyai kekasih. Tidak dinafikan agak susah untuk membawa watak tomboy yang tidak klise, namun saya cuba membuat yang terbaik untuk menjayakan watak ini,” ujar Zara sambil berkongsi cabaran berlakon dalam drama ini.
“Ini merupakan kali pertama saya berlakon dalam drama online. Setiap episod hanya ada lima minit jadi saya perlu membawa mood satu episod ke episod seterusnya dengan cepat. Memang agak sukar dan mental seseorang itu kena kuat untuk berlakon dalam drama online. Tambahan pula, kami hanya shoot selama 8 hari sahaja untuk 20 episod, jadi keserasian dengan pelakon susah sikit nak build memandangkan waktu yang agak singkat.
“Walau bagaimanapun, saya seronok dapat berlakon dalam drama ini kerana ia sesuatu yang agak berbeza dan amat menarik. Pengarah juga okay dan tidak banyak kerenah. Saya rasa drama ini akan meletup kerana banyak plot yang sangat menarik. Malah, penonton juga akan rasa tak puas dan akan ternanti-nanti untuk menonton episod seterusnya.”
Ketika bertemu dengan Zara, Tonton Extra sempat bertanyakan mengenai pencalonan yang diterimanya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun ini. Dia yang tercalon untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Di Layar bersama Adi Putra mengakui tidak meletakkan sebarang harapan, namun tidak menafikan mahu memenangi kategori itu.

“Saya harap sangat dapat menang. Ini adalah untuk masa depan karier saya sendiri selain boleh tunjuk kepada generasi saya nanti. Saya memang nak anugerah itu, walau bagaimanapun saya tidak meletakkan sebarang harapan kerana takut nanti kecewa,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Artikel dari Tonton Extra