Tepati Janji, Siti Akhirnya Dedah Wajah & Nama Anak

Menepati janji, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akhirnya mengumumkan nama puteri mereka, Siti Aafiyah selepas genap usianya tujuh hari.

Menurut Siti, Aafiyah dipilih kerana nama itu cukup indah daripada segi maknanya.

Nama ini saya dapat ketika menunaikan umrah. Saya dapati nama itu sering disebut dalam doa dan maknanya adalah yang baik-baik saja.

Sementara itu, Datuk Khalid turut menyatakan bahawa nama tersebut membawa maksud yang indah selain ia mudah diingati.

Menurutnya lagi, nama tersebut dipilih berdasarkan doa yang diajar Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas yang bertanya apakah doa terbaik untuk dibaca.

Dalam doa itu ada menyebut perkataan ‘Aafiyah’ yang membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, menjadi sihat dan mempunyai wang yang cukup.

Semalam, buat pertama kalinya, wajah Siti Aafiyah yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram dikongsi secara rasmi melalui video yang dimuat naik di Instagram, seperti yang dijanjikan pasangan itu.

Sejak dilahirkan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, Isnin lalu, puteri sulung penyanyi yang baru muncul dengan single Comel Pipi Merah itu dipanggil ‘Fatimah Az-Zahra’, sempena nama anakanda Nabi Muhammad.

Selepas menanti 11 tahun, Siti melahirkan bayi sulung secara pembedahan pada jam 8.17 pagi, Isnin lalu. Berita kelahiran si ‘Comel Pipi Merah’ itu disambut riang peminat yang menanti detik bersejarah itu.

Ketika ini, Siti menjalani tempoh berpantang sebelum kembali aktif menjelang akhir tahun ini.

Leave a Reply