PENYANYI, Adira Suhaimi enggan mengulas lanjut tindakan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu yang memuat naik status di Instagram berhubung babak bersentuhan Adira dengan model lelaki dalam muzik video lagu Pujaan Hati.

“Saya tak nak komen lebih bagi mengelakkan isu ini berpanjangan. Cuma, apa boleh dikatakan, perkara ini boleh dibawa berbincang di rumah. Tidak perlu nak diuar-uarkan di laman sosial.

Kata Adira lagi kepada Harian Metro,

“Ia boleh mengeruhkan lagi keadaan dan memberi ruang orang bercakap yang bukan-bukan”¬†

Ditanya sama ada dia akan membuang muzik video itu, Adira berkata dia tidak mahu bersikap mementingkan diri.

“Sebelum buat keputusan, saya kena fikir banyak perkara. Bukan saya seorang saja dalam muzik video ini tetapi membabitkan banyak pihak. Saya tak boleh pentingkan diri dengan buat keputusan sendiri. Lagi pula, pihak pengurusan sudah banyak bantu saya. Dari awal sampai sekarang, mereka sangat profesional.”

Sebelum ini, Adnan memuat naik status di Instagram yang mahukan pihak pengurusan Adira menyelesaikan isu muzik video itu yang mengandungi adegan bersentuhan isterinya. Adnan ketika dihubungi berkata, dia memberi tempoh tiga hari sehingga semalam kepada syarikat pengurusan Adira bagi menjawab dan menyelesaikan perkara itu.

“Saya beri mereka tempoh tiga hari sejak Jumaat lalu untuk beri penjelasan. Kalau boleh saya nak mereka padam muzik video itu. Jika tidak sekali pun, buat suntingan semula dengan membuang adegan berkenaan dan muat naik semula.

“Saya juga sudah cuba menghubungi boss Adira, tetapi tidak berjawab. Malah, pengurus Adira pun hanya baca mesej yang dihantar tanpa sebarang balasan. Cara mereka ini seolah-olah tidak menghormati saya sebagai suami Adira. Sekurang-kurangnya mintalah maaf.”