Walaupun suaranya sering dikritik netizen, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin tidak pernah meletakkan titik nokhtah dalam bidang nyanyian apabila bakal muncul dengan single terbaru, Isterimewa.
Fattah menerusi laman Instagramnya semalam berkongsi teaser lagu berkenaan versi akustik dan video tersebut berjaya meraih lebih 3,000 tontonan oleh pengikut setianya!
“Assalamualaikum semua..Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi di atas kurniaan Ilham dariNya. Malam ini saya dapat kongsikan akustik teaser ‘ISTERIMEWA’ hasil ciptaan sepenuhnya oleh sahabat saya @melramlan . .”
“Versi akustik ini adalah TEASER kepada single terbaru saya, ‘ISTERIMEWA’ yang akan dikeluarkan tidak lama lagi”
Menurut Fattah, lagu terbarunya itu menceritakan tentang luahan ikhlas isi hati seorang lelaki kepada seorang wanita istimewa dalam hidupnya yang ingin dijadikan sebagai isteri.
Sementara itu, rata-rata pengikutnya di laman Instagram juga turut melontarkan kata-kata positif serta pujian terhadap Fattah yang sudah menunjukkan peningkatan dalam bidang nyanyian.
Diharapkan semoga Fattah terus berjaya dalam hidup dan sukses dalam karier seninya di masa hadapan!