Ippo Hafiz Sedia Kehilangan Cinta

Penyanyi lagu Saat Bahagia, Ippo Hafiz mempunyai seorang anak angkat perempuan bernama Cinta Rizky Amanda.

Menggelarkan dirinya sebagai ‘Papa’, Ippo sentiasa mengingatkan diri supaya bersedia dengan segala kemungkinan selepas mengambil Cinta sebagai anak angkat sejak tiga tahun lalu.

“Saya selalu mendidik diri supaya bersedia sekiranya nanti ibu atau keluarganya ingin mengambil Cinta kembali. Kita tidak dapat menduga masa hadapan,” katanya.

Menyayangi Cinta seperti darah dagingnya sendiri, Ippo juga beruntung kerana ibu bapanya banyak membantu menguruskan si kecil itu.

Menurut Hafiz lagi, anak angkatnya itu berasal dari keluarga yang susah dan dari situ dia membuat keputusan untuk mengambil Cinta sebagai anak angkat dan penuhi segala keperluan.

“Cinta berasal dari keluarga yang susah dan saya bertanggungjawab untuk membantunya. Alhamdulillah, urusan itu dipermudahkan dengan bantuan keluarga,” katanya lagi.

Jika ditakdirkan Ippo kehilangan Cinta suatu hari nanti, Ippo menjelaskan dia tidak akan sesekali lupa kepada tanggungjawab kerana Cinta adalah amanah penting buat dirinya.

“Insya-Allah, saya akan menjaganya sebaik mungkin kerana Cinta menjadi amanah dan tanggungjawab buat saya,” ujarnya.