Apa tiru-tiru ni? Penyanyi, Wany Hasrita, menafikan dakwaan kononnya beliau cuba meniru Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila muncul bersama single irama Malaysia, Ewah Ewah.

Bukan sekadar Siti, malah kata Wany,  beliau tidak berniat untuk meniru mana-mana artis yang memperjuangkan muzik berkenaan pun apabila merakamkan lagu terbabit.

“Jujurnya, saya tidak berniat meniru Siti mahupun artis lain yang menyanyikan lagu irama Malaysia. Saya menyanyikan lagu dalam genre ini kerana minat. Pada masa sama, saya mahu memastikan irama terbabit tidak tenggelam begitu saja.

“Sebenarnya, banyak lagu tradisional yang bagus, tetapi tidak diketahui ramai. Saya pula cukup bersyukur apabila diberikan ruang untuk muncul dengan muzik sebegini.

“Semoga usaha saya ini secara tidak langsung memberikan dorongan kepada penyanyi irama tradisional lain untuk tampil ke depan.”

Sejak awal kemunculannya, Wany sememangnya tidak dapat lari daripada kritikan dan perbandingan bersama penyanyi lain. Sebelum ini, beliau dikatakan mempunyai suara hampir sama dengan Siti Nordiana.

Menyentuh single baharunya itu, video muzik rasmi Ewah Ewah yang dimuat naik ke laman YouTube pada 4 Mac lalu sehingga kini sudah pun meraih hampir 1.8 juta tontonan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber: Bhonline

Leave a Reply