Berat Puteri Aishah naik sampai 90kg

Bulan puasa ni ada yang makin turun, ada juga yang berat badannya makin naik. Itu lah yang terjadi kepada pelakon Puteri Aishah Sulaiman yang  berat badannya naik mendadak sehingga 90 kilogram gara-gara ditinggalakn kekasih.

Tapi itu bukan realiti, watak wanita gempal dibawakan Puteri Aishah menerusi drama terbarunya. Katanya lagi dia perlu mengenakan kostum silikon untuk tampil gemuk.

Setiap hari dia terpaksa menahan gatal, selain badan melecet dan kurang selesa, namun drama itu memberinya pengalaman baharu sebagai pelakon.

“Lebih 80 peratus babak menampilkan saya sebagai wanita dengan berat badan melebihi 90 kilogram. Karakter itu pada asalnya mempunyai berat badan ideal, tetapi fizikalnya mula berubah selepas ditinggalkan kekasih.

“Bukan sekadar menyarung kostum silikon, dalam satu babak, saya perlu menyarung baju tebal yang sering dipakai pada musim sejuk supaya badan kelihatan lebih besar.

“Ia cukup mencabar, malah untuk solekan, saya perlukan sekurang-kurangnya tiga jam. Bayangkan setiap hari saya terpaksa melalui semua cabaran itu sepanjang 12 jam penggambaran,” katanya.

Biarpun penggambaran hanya bermula jam 11 pagi, kebiasaannya dia akan meninggalkan rumah selepas bersahur bagi mengelakkan diri terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Saya tidak kisah menunggu dalam kereta. Dapat juga saya melepaskan lelah dan membuat persediaan sebelum mula bersolek pada jam 7 pagi. Penat, namun saya puas kerana drama ini banyak menguji kemampuan saya,” katanya.

Aishah berkata, penggambaran drama yang menemukannya dengan Nazim Othman hanya akan selesai sehari sebelum sambutan 1 Syawal. Drama bersiri 20 episod itu bakal disiarkan di ntv7.

 

 

 

 

 

 

Sumber : Bhonline