Awi Rafael, Atikah Suhaime Batal Pernikahan

Penyanyi yang berasal dari Singapura, Awi Rafael mengesahkan majlis pernikahan dengan tunang yang berasal dari negara sama, Atikah Suhaime, Ahad ini, dibatalkan.

Menerusi perkongsian video di laman sosial Instagram itu, Awi menjelaskan dia dan Atikah berdepan dugaan hingga majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan.

“Saya, Awi Rafael dan keluarga memaklumkan menarik diri daripada berkahwin dengan Atikah, tahun ini. Ada banyak benda yang harus diselesaikan sejak awal. Namun, pada saat-saat akhir baru tahu kisah sebenar.
“Keluarga Awi perlu waktu memikirkan cara terbaik hendak menangani dugaan ini. Awi pula harus fokus kepada ibu dan nasihatnya. Begitu juga Atikah dan keluarganya.
“Saya dan keluarga sekali lagi mengatakan untuk menarik diri daripada berkahwin dengan Atikah,” tegas Awi.

Dalam pada itu, netizen juga tertanya-tanya apakah punca sehingga menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan majlis pernikahan tersebut.

Menerusi kapsyen, Awi amat berharap agar semua pihak memahami situasi yang dihadapinya ketika ini selain mengakui jodoh itu di tangan tuhan dan persoalannya sudah terjawab melalui solat istikarah yang dilakukan.

“Awi harap semua teman akan faham.  Jodoh di tangan Tuhan & mungkin solat istikarah Awi pun telah dijawab di saat2 akhir ini,” ujarnya.

Sementara itu, Awi juga berjanji akan menanggung segala kos pembelian tiket penerbangan yang sudah diatur untuk majlis berkenaan.

“Saya akan bayar semula tiket penerbangan yang sudah dibeli untuk majlis ini. Juga kepada penaja majlis kahwin seperti kek dan makanan, kita boleh berikannya kepada anak yatim.
“Tidak lupa teman media yang terus menyokong saya dan dia (Atikah). Tetap beri sokongan kepadanya (Atikah),” katanya lagi.

Bagaimanapun, hasil semakan didapati Awi telah memadam video tersebut di laman Instagramnya selepas empat jam dimuat naik.

Untuk pengetahuan, pasangan ini bertunang pada 17 Mac 2018 di Singapura.