Menggunakan jenama barunya dalam bidang nyanyian, penyanyi yang lahir dari sebuah program realiti televisyen Adam Aiz dikhabarkan bakal kembali aktif dalam industri muzik.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Jatuh ini juga mahu kembali berumah tangga selepas gagal dalam perkahwinan pertama bersama pelakon dan penyanyi, Fiza Elite.

“Saya tidak pernah trauma dan masih mahu kembali mendirikan rumah tangga. Sudah tentu sebagai manusia, saya mahu hidup berpasangan. Sunyi rasanya hidup solo,” katanya.

Penyanyi kelahiran Sabah ini juga mengakui sudah bersedia menjadi seorang bapa.

“Saya juga telah bersedia untuk mempunyai zuriat. Pengalaman perkahwinan terdahulu, banyak mengajar saya erti untuk menjadi seorang suami yang lebih baik dan hidup berpasangan,” ujarnya.

Bercerita tentang kreateria pasangan pula, Adam tidak memilih tentang calon isterinya itu asalkan hati sudah berkenan.

“Pada usia ini, saya tidak mempunyai ciri-ciri wanita impian yang khusus. Jika hati telah berminat, ada jodoh saya terus akan jumpa keluarga,” katanya lagi.

Semoga Adam dipertemukan dengan wanita yang sesuai dan cepat-cepat naik pelamin.