9 Juta tontonan, mungkin ada Nur 2?

Nur yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam menjadi ‘trending’ di laman Twitter dan mencecah 9 juta tontonan sehingga episod 12.

Malah, drama ini mencatat 2.5 juta penonton pada episod 16 yang memaparkan babak Aishah lakonan Noorkhiriah menuduh Nur menyihir keluarganya menggunakan sup bunjut hingga tular di laman sosial.

Dan terbaru pengarah drama fenomena Nur, Shahrulezad Mohameddin mengakui mendapat tawaran untuk menghasilkan Nur 2 daripada TV3.

Shahrulezad bagaimanapun tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan sambungan drama yang menampilkan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle itu.

“Diakui ramai nak sambungan drama ini. Malah, pihak stesen TV pun sudah menawarkan untuk saya menghasilkan Nur 2. Sejujurnya, saya belum ada idea.

“Apatah lagi sekarang kita sibuk nak beraya, jadi kepala saya kosong. Kalau boleh selesaikan Syawal dahulu. Malah, satu perangai pelik saya iaitu tidak suka bekerja dalam keadaan terganggu.

“Isu saya sekarang adalah berbalik kepada niat. Kalau saya buat Nur 2, adakah semata-mata untuk mendapatkan ‘rating’ penonton dan lawan yang pertama? Sedangkan saya nak bercerita mengenai Allah dan kebaikan agama,” katanya lagi.

Menurut Shahrulezad, dia tidak mahu perkara itu memesongkan niatnya kerana bimbang ia jadi tidak ikhlas dalam berkarya.

 

 

 

 

Sumber: Bhonline